April 29, 2010

Segerakan integrasi kewangan

KUALA LUMPUR 28 April - Pembangunan infrastruktur kewangan di Asia memerlukan pelaburan keseluruhan berjumlah kira-kira AS$8 trilion (RM25.6 trilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bagi menyokong pembangunan itu, beliau berkata, proses integrasi kewangan serantau di Asia perlu dipercepatkan dan diperluaskan lagi.

Katanya, sehingga kini, perkembangan signifikan sudah dicapai untuk memperkukuhkan usaha pakatan dan kerjasama di kalangan pembuat dasar serantau Asia.

Ini kerana, katanya, perkembangan itu penting bagi memastikan kestabilan kewangan di rantau ini terus dipelihara.

"Ketika sistem kewangan di beberapa negara maju terus bergelut dengan cabaran-cabaran yang belum diselesaikan, sistem kewangan di rantau ini didapati terus berfungsi dan menunjukkan prestasi yang baik bagi menyokong aktiviti ekonomi sektor swasta,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Industrial and Commercial Bank of China (Malaysia) Bhd. (ICBC) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehingga kini, pasaran modal ICBC sebanyak AS$277.514 bilion (RM888.04 bilion) dan merupakan yang terbesar di dunia.

ICBC tersenarai di tangga pertama daripada segi jumlah deposit dan keuntungan, dan turut diiktiraf sebagai peneraju bank komersial di negara komunis itu.

Selain itu, Zeti juga berkata, selepas sedekad perubahan kewangan di Asia, sistem kewangan di rantau ini terus berdaya tahan.

Katanya, pelbagai usaha turut diambil bagi membangunkan pasaran kewangan di Asia.

Katanya, integrasi kewangan serantau terus ke hadapan, malah ia menyumbang kepada mengekalkan prospek masa hadapan dan meningkat sebagai pusat pertumbuhan penting dalam ekonomi dunia.

Zeti juga menambah, pelancaran ICBC, bank komersial terbesar di dunia termasuk daripada segi deposit, mewakili pembangunan penting dalam menempa ikatan ekonomi dan kewangan yang kukuh di antara kedua-dua negara.

Katanya, bank ini diberikan lesen sebagai memenuhi persetujuan yang diaturkan antara kedua-dua negara pada 2009, memperkukuhkan semula ikatan perhubungan jangka panjang yang telah dimeterai sejak sekian lama.