April 28, 2010

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR 27 April - Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika hari ini setelah pelabur beralih untuk menampung kekurangan pegangan dolar, kata para peniaga.

"Pasaran telah kekurangan dolar untuk beberapa lama disebabkan oleh kenaikan ringgit yang menyaksikan pelabur terus dengan kegiatan pengambilan untung hari ini," kata peniaga tukaran asing RHB Bank Nur Adeline Baharin.

Pada pukul 5 petang, mata wang tempatan susut berbanding dolar kepada 3.1860/1890 daripada 3.1810/1840 pada Isnin.

Beliau berkata unit tempatan diuji pada paras rendah 3.1970 semasa dagangan hari ini apabila pengekport mula menjual dolar AS tetapi mengukuh kepada 3.1800 kemudiannya.

Nur Adeline berkata ringgit dijangka berlegar antara paras 3.1750 dan 3.2000 minggu ini.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 2.3254/3285 daripada 2.3229/3285 semalam dan juga berbanding yen Jepun kepada 3.3919/3973 daripada 3.3822/3865 sebelumnya.

Ringgit lemah berbanding euro kepada 4.2519/2575 daripada 4.2387/2443 semalam tetapi menokok berbanding pound British kepadao 4.8944/9000 daripada 4.9194/9253 sebelumnya.

- Bernama