Saham mewah yang dijangka terus jatuh buka peluang pelabur membeli
PERANGKAAN ekonomi lebih baik daripada jangkaan bermula dengan jualan sektor peruncitan hingga Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) di Amerika Syarikat (AS) dan pasaran serantau gagal menaikkan bursa saham tempatan minggu lalu.
Pasaran bimbang dengan langkah China mengetatkan lagi dasar kreditnya bertujuan mengekang spekulasi hartanah, seterusnya memaksa pasaran melanjutkan lagi kegiatan pengambilan untung. Berikutan itu, penanda aras bagi saham mewah, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) jatuh 1.21 mata atau 0.1 peratus minggu lalu untuk ditutup pada 1,332.77, dengan keuntungan dicatatkan pada saham DiGi.com (+RM1.10), MISC (+15 sen) dan IOI Corp (+5 sen) dibayangi oleh kerugian pada saham CIMB (-14 sen), Sime Darby (-9 sen) dan Axiata (-6 sen). Purata dan nilai dagangan harian masing-masing menurun kepada 961.4 juta saham bernilai RM1.46 bilion, berbanding 1.17 bilion saham bernilai RM1.56 bilion pada minggu sebelumnya.
Perangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan rizab asing yang akan dikeluarkan Rabu dan Khamis ini dijangka tidak akan mempunyai sebarang kesan kepada pasaran memandangkan pasaran sudah pun menjangkakan bank pusat akan meneruskan proses menjadikan kadar faedah kembali seperti biasa apabila ia bermesyuarat bulan depan.
Kesepakatan pendapat mengenai unjuran IHP bagi Mac adalah ia akan bergerak tinggi dengan peningkatan 1.5 peratus berbanding 1.2 peratus bagi Februari.
Jangkaan mengenai tekanan inflasi bukan satu kejutan memandangkan ekonomi domestik sedang bergerak seiring dengan pertumbuhan yang disaksikan di lain-lain ekonomi serantau dan pelanggan pula kini bersedia berbelanja.
Jangkaan kenaikan tambahan dalam kadar faedah dan permintaan dari luar yang lebih baik ke atas eksport dari Malaysia telah menjadi faktor penting dalam pengukuhan nilai ringgit dan ia akan ditunjukkan dalam data tukaran asing.
Bagaimanapun, kadar faedah bukan satu-satunya alat dalam dasar monetori di Bank Negara Malaysia.
Bank pusat itu boleh mengikut jejak langkah Singapura dan menilai semula ringgit ke tahap lebih tinggi dengan secara rasmi.
Sudah tentu, pengeksport akan menerima kesan daripada langkah itu tetapi mereka tidak boleh bergantung kepada faktor daya saing ini saja untuk selama-lamanya manakala pengguna terpaksa menanggung beban.
Membenarkan ringgit terus mengukuh, mungkin antara RM2.90 hingga RM3 berbanding AS$1 akan membantu mengurangkan tekanan inflasi dan pada masa sama memberikan lebih banyak kelebihan kepada kerajaan dalam melaksanakan beberapa pendekatan antisubsidi yang sudah lama tertangguh seperti harga minyak di pam dan peningkatan tarif elektrik.
Dari segi tinjauan pasaran pula, arah aliran pasaran yang lemah minggu lalu memberikan petanda bahawa petunjuk saham mewah akan terus jatuh berikutan faktor pengambilan untung.
Keadaan pengambilan untung ini sesuai kepada pelabur yang sebelum ini berada di luar pasaran tetapi kini mencari peluang untuk membeli.
Saham perbankan utama seperti CIMB, Maybank, Public Bank dan RHB Capital menawarkan pembelian yang lebih baik kerana berada dalam kumpulan saham mewah yang harganya menurun.