Aktiviti pengambilan untung dicatat minggu lalu perbetulkan terlebih belian pasaran
PASARAN melonjak ke paras tertinggi baru dalam tempoh dua tahun pada minggu lalu, disusuli aktiviti pengambilan untung serta jualan berikutan kedudukan terlebih belian dari segi teknikal. Namun, belian secara pusingan saham murah kekal mantap dengan tumpuan terhadap kaunter pembinaan serta minyak dan gas.
Susulan itu, penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 1.96 mata atau 0.15 peratus minggu lalu untuk ditutup pada 1,333.98 mata. Kekukuhan indeks itu yang disokong peningkatan saham Tenaga (+41sen) dan Public Bank (+22sen), namun Bagaimanapun, ia diatasi dengan kerugian kaunter CIMB (-46sen), Axiata (-7sen) dan PPB Group (-62sen).
Jumlah purata urus niaga harian minggu lalu adalah 1.17 bilion saham bernilai RM1.56 bilion. Dari segi penilaian, FBM KLCI kini diniagakan pada kadar harga perolehan (PER) 16 kali dan dijangka terus menjalani fasa pengukuhan minggu ini.
Walaupun begitu, kekukuhan asas ekonomi, kecairan sistem kewangan dan kenaikan nilai ringgit, akan menyerap sebarang penurunan dan sudah bersedia untuk menjalani fasa kenaikan seterusnya iaitu kepada 1,390 mata pada bulan ini atau awal bulan depan.
Nilai ringgit dijangka terus melonjak untuk menguji paras tertinggi April 2008 iaitu RM3.12 bagi AS$1 pada bulan ini, yang mana mampu merangsang penanda aras pasaran dengan kemasukan dana asing.
Penganalisis memberi saranan positif kepada kaunter dalam sektor itu susulan kebanyakan saham berkaitan adalah masih di bawah nilai, termasuk Tanjung Offshore, Petra Perdana, Petra Energy, Perisai Petroleum dan Pantech Group.
Dengan petunjuk kukuh pertumbuhan ekonomi global dan kenaikan harga minyak yang meningkat 65 peratus berbanding tahun lalu, syarikat minyak utama dunia pasti akan meningkatkan aktiviti penerokaan dan pengeluaran bahan api itu selepas tidak berbuat demikian sejak 18 bulan lalu.
Permintaan minyak mentah global sedang meningkat pada kadar positif dalam tempoh lima bulan lalu bermula November 2009.
Ia berkembang pada kadar 3.5 peratus pada Mac tahun ini berbanding tempoh sama 2009, kenaikan yang jelas lebih tinggi berbanding peningkatan bekalan sebanyak 2.2 peratus.
Aktiviti pengambilan untung yang berlaku minggu lalu telah memperbetulkan kedudukan terlebih belian pasaran, membuka peluang kepada pasaran untuk kembali meningkat.
Pada masa sama, kekukuhan pasaran saham global susulan kemunculan lebih banyak petunjuk pemulihan, akan membolehkan FBM KLCI menguji paras halangan 1,347 dan 1,354 mata dengan paras sokongan pada 1,309 dan 1,300 mata.
Dari segi teknikal, kaunter Genting dan IOI Corp dijangka terus meningkat selepas penurunan baru-baru ini.
Pelabur juga disaran menjual kaunter RHB Capital dan Tenaga jika terus meningkat minggu ini, susulan kedudukan terlebih belian pada kaunter berkenaan.
Sementara itu, kaunter seperti Kinsteel, MRCB, UEM Land, Dialog, Kencana, SapuraCrest, Jaks Resources, Leader Universal dan Land & General, dijangka menarik penyertaan pelabur minggu ini.