KUALA LUMPUR 19 Mac - Lembaga Pengawasan Audit (AOB) akan memulakan operasinya pada 1 April ini setelah diluluskan di Parlimen pada Disember lalu, kata Pengerusi Suruhajaya Sekuriti (SC) Tan Sri Zarinah Anwar.
Katanya, Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan telah ditubuhkan bagi menyediakan kriteria pendaftaran untuk juru audit syarikat senaraian awam.
''Ini akan diikuti oleh pembangunan program pengawasan penyeliaan bagi pemeriksaan, pertanyaan, penguatkuasaan dan penetapan standard,'' tambah Zarinah
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membentangkan Laporan Tahunan SC 2009 di sini hari ini.
Penubuhan AOB dilaksanakan di bawah Akta Pindaan SC 2010, yang diluluskan oleh Parlimen pada Disember.
''SC telah berusaha keras untuk membentuk AOB ini bagi menyediakan pengawasan audit bebas kepada entiti kepentingan awam dan memastikan rangka kerja kawal atur kami bagi juruaudit setara dengan standard antarabangsa,'' katanya.
Zarinah berkata, tadbir urus korporat yang kukuh diperlukan untuk menyediakan jaminan yang perlu bagi proses audit, kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan.
"SC juga bekerjasama dengan industri untuk menubuhkan badan Resolusi Pertikaian Alternatif (ADR) menjelang Julai ini,'' katanya.
ADR akan bertindak sebagai pengantara dan forum penyelesaian pertikaian bagi tuntutan kewangan kecil yang difailkan oleh pelabur individu berkaitan dengan urusan mereka dalam sekuriti dan produk pasaran modal.
Sementara itu, SC dan Bursa Malaysia juga saling bekerjasama untuk memastikan pengambilalihan diselia dan pelabur diberikan perlindungan yang sama taraf.
''Ia adalah penting, dalam situasi pengambil alihan, pelabur minoriti perlu diberi nasihat yang jelas dan berguna bagi membolehkan mereka membuat keputusan.
''Oleh itu, SC mencadangkan penambahbaikan terhadap kualiti nasihat bebas dalam situasi pengambilalihan. Kertas mengenai kedua-dua isu itu telah dikeluarkan hari ini,'' katanya.
Zarinah menegaskan bahawa SC juga telah menyediakan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) kedua yang dijangka dilancarkan sebelum akhir tahun.
''Pelan induk kedua itu akan menyediakan komitmen jelas kepada agenda dan visi pertumbuhan mapan yang disokong oleh keyakinan terhadap masa depan Malaysia,'' katanya