KUALA LUMPUR 11 Feb - Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding dolar AS seiring dengan kebanyakan mata wang Asia yang lain, kata seorang peniaga. Pada pukul 5 petang, unit tempatan diniagakan pada 3.4250/4300 berbanding dolar AS iaitu 3.4300/4340 semalam.
Prospek yang lebih baik berhubung kestabilan Eropah dengan jangkaan berlakunya rancangan pakej menyelamat telah menyebabkan para pelabur lebih sanggup untuk memegang aset yang lebih berisiko, kata seorang peniaga lain.
"Unit tempatan tampak lebih kukuh dan kita akan lihat ia dengan mudah mencecah paras 3.40 esok," kata peniaga itu.
Keteguhan ringgit juga dipengaruhi oleh kenaikan Bursa serantau khasnya di Asia termasuk Malaysia dimana Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) meningkat sebanyak 3.25 mata untuk ditutup kepada 1,249.42.
Ringgit ditutup tinggi berbanding yen kepada 3.8030/8103 daripada 3.8286/8339 semalam. Ia juga mengukuh berbanding euro kepada 4.7128/7211 daripada 4.7193/7262 dan berbanding pound Britain kepada 5.3355/3446 daripada 5.3765/3845 semalam.
Ringgit bergerak naik berbanding dolar Singapura kepada 2.4237/4307 daripada 2.4189/4241 sebelumnya.