KUALA LUMPUR 2 Feb - Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila peserta pasaran menarik diri berikutan spekulasi bahawa bank pusat mungkin menaikkan kadar faedah lebih awal daripada jangkaan, kata seorang peniaga.
Pada 5 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.4170/4200 kepada dolar berbanding 3.4060/4110 pada penutup Jumaat.
Pasaran tempatan yang ditutup pada Isnin sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan, menyaksikan mata wang tempatan juga susut kerana dollar AS semakin kukuh, yang memperoleh kekuatan hasil daripada petunjuk positif pemulihan ekonomi AS.
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata mengenai perlunya kadar faedah dikembalikan ke tahap biasa ekoran risiko ketidakseimbangan kewangan.Ringgit, bagaimanapun tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh kepada 2.4195/4240 berbanding dolar Singapura daripada 2.4256/4319 Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7694/7753 berbanding 3.7748/7820 sebelumnya.Ringgit juga lebih tinggi berbanding Euro kepada 4.7561/7613 daripada 4.7602/7679 pada Jumaat dan tinggi berbanding pound British kepada 5.4388/4453 daripada 5.5078/5173 sebelumnya.- Bernama