KUALA LUMPUR 9 Feb - Telah tiba masanya untuk mata wang Asia, terutamanya Yuan China yang telah ditetapkan pada dolar AS, untuk mula "mengaum" apabila rantau ini mula menerajui perjalanan ke arah pemulihan ekonomi.
Buat masa ini, kerajaan China bertindak balas terhadap kepentingan domestik mereka berbanding tekanan luar untuk membolehkan Yuan meningkat tetapi keputusan ini akan berubah, kata Pengarah (Pembangunan Kerajaan) Aberdeen Asset Management Donald Amstad hari ini.
Beijing telah menetapkan nilai yuan pada kira-kira 6.8 setiap dolar AS.
"Kami fikir untuk kebaikannya sendiri, China patut membenarkan mata wangnya meningkat biar apapun pendapat dunia luar," katanya dalam satu taklimat tentang
'2010-Perjalanan yang sukar ke arah pemulihan'. Amstad berkata, adalah sukar untuk mempunyai dasar ekonomi berasaskan pengekalan mata wang yang lemah untuk menggalakkan eksport apabila sebenarnya tiada tempat untuk dieksport.
"Pasaran eksport tradisi China masih lembap sekarang dan tidak mungkin akan pulih dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi," katanya.
Oleh itu, cara yang sesuai adalah menggalakkan permintaan domestik untuk menerajui pertumbuhan, bukan sahaja untuk China tetapi lain-lain negara Asia, termasuk Malaysia, dan oleh itu, mata wang tempatan patut lebih kukuh untuk memberikan kuasa penggunaan.
Amstad berkata, apabila yuan China mula meningkat, lain-lain mata wang Asia akan turut meningkat, termasuk ringgit Malaysia.
"Selama satu dekad sekarang, mata wang Asia terus lemah dan kami rasa ini akan berakhir. Akan ada perubahan besar. Bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, ia adalah mengenai mata wang Asia yang kukuh," katanya.
Aberdeen, katanya, telah menyusun portfolio pelanggannya agar mereka mendapat keuntungan apabila kerajaan China membenarkan mata wang mereka meningkat.
Membenarkan mata wang itu meningkat juga akan membantu menjauhkan inflasi, katanya. - Bernama