January 21, 2010

Untung TNB RM706 juta

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM706.3 juta pada suku pertama berakhir pada 30 November 2009 berbanding kerugian bersih sebanyak RM944.1 juta sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, prestasi yang kukuh itu disumbangkan oleh penurunan kos operasi sebanyak 6.1 peratus berikutan kos penjanaan yang lebih rendah.

''Kos operasi menurun kerana dua perkara iaitu nilai ringgit yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan penurunan harga minyak mentah dunia.

''Ini menyebabkan harga arang batu yang dibeli lebih murah berbanding pada tahun lalu. Pada masa ini harga arang batu berada pada paras AS$80 (RM266.40) setan dan TNB masih mampu menguruskan pembelian arang batu sehingga ia mencecah AS$85 (RM283) setan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan keputusan kewangan TNB bagi suku pertama berakhir 30 November 2009, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie.

Tambah Che Khalib, penurunan kos penjanaan sebanyak 11.3 peratus telah menyumbang kepada peningkatan keuntungan operasi sebanyak 39.3 peratus.

''Dengan berlakunya pengurangan peruntukan gas yang berkuatkuasa pada Mac 2009, hasil penjanaan daripada stesen janakuasa menggunakan arang batu dijangka meningkat bagi memenuhi pertumbuhan permintaan pada masa hadapan.

''Bagi mengurangkan kepada pendedahan harga pasaran yang tinggi, harga arang batu dirundingkan dalam kontrak pembelian yang dibuat secara berperingkat-peringkat,'' jelasnya.

Dalam tempoh itu, permintaan elektrik di Semenanjung meningkat sebanyak 2.7 peratus.

Pendapatan Kumpulan, bagaimanapun mengalami penurunan sebanyak 1.0 peratus ekoran pelarasan tarif elektrik berkuatkuasa 1 Mac 2009.

Che Khalib berkata, Lembaga Pengarah menjangkakan prestasi kewangan memuaskan bagi tahun kewangan 2010.

Leo Moggie pula menjelaskan, permintaan elektrik di Semenanjung meningkat sebanyak 2.7 peratus manakala Sabah pula bertambah sebanyak 7.3 peratus.

''Analisis yang lebih lanjut menunjukkan permintaan elektrik di Semenanjung, kesemua sektor terutama perindustrian, komersial dan domestik masing-masing tumbuh dengan positif.

''Ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi serta perbelanjaan aktiviti yang kukuh hasil daripada pakej rangsangan fiskal dan prospek perniagaan yang lebih baik,'' katanya.

Bergerak ke hadapan, prospek tahun ini adalah menggalakkan khususnya disebabkan oleh langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan dalam menangani krisis ekonomi.