KUALA LUMPUR 18 Jan - Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini, dengan sentimen lembap di pasaran tempatan menghakis permintaan untuk unit tempatan, kata seorang peniaga.
Pada pukul 5 petang, unit tempatan disebut harga pada 3.400/4430 berbanding dolar daripada penutup Jumaat lepas pada 3.3380/3410.
Masih lagi terdapat minat ke atas dolar pagi ini walaupun permintaan telah perlahan dengan kebanyakan para peniaga menjauhi pasaran berikutan cuti memperingati Hari Martin Luther King Jr. di Amerika Syarikat, kata peniaga mata wang RHB Bank, Nur Adeline Baharin.
Lantunan semula ke atas harga emas turut memberikan tekanan kepada dolar.
Mata wang tempatan boleh berlegar sekitar paras 3.32 esok (Selasa), tambah beliau.
Hari ini, ringgit diniaga bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.4027/4073 daripada 2.4032/4057 Jumaat lepas dan berbanding yen Jepun kepada 3.6699/6744 daripada 3.6786/6828 sebelumnya.
Ringgit mengukuh berbanding euro pada 4.8002/8059 daripada Jumaat lepas iaitu 4.8091/8144 tetapi lemah berbanding pound Britain kepada 5.4612/4678 daripada 5.4500/4562 sebelumnya.- Bernama