KEMASUKAN pelaburan asing ke dalam sektor hartanah komersial di negara ini susulan langkah kerajaan meliberalisasikan sektor berkenaan dijangka mula dirasakan hujung tahun ini.
Firma perkhidmatan hartanah komersial terbesar dunia, CB Richard Ellis (CBRE), berkata ketika ini pasaran hartanah komersial belum merasai kesan sepenuhnya daripada pengumuman kerajaan pada Bajet lalu yang menghapuskan syarat keperluan ekuiti tempatan bagi pembelian hartanah oleh pihak asing.
Pengerusi Eksekutif CB Richard Ellis (Malaysia) Sdn Bhd (CBRE Malaysia), Christopher Boyd, berkata pelabur asing berpotensi dalam sektor hartanah komersial tempatan adalah dari Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Asia Barat.
“Kita akan menyaksikan jumlah pelaburan asing yang agak besar daripada pelabur ini menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika membentangkan laporan CBRE Research mengenai prospek pasaran hartanah komersial Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Boyd berkata, tarikan pelaburan dalam sektor hartanah komersial tempatan terletak pada faktor seperti prasarana moden, kemudahan awam berkualiti dan kos pemilikan hartanah yang lebih murah.
“Kuala Lumpur yang menjadi lokasi utama pilihan pelabur misalnya menawarkan pilihan bangunan yang banyak di pelbagai lokasi. Kadar sewa ruang pejabat di Kuala Lumpur juga lebih berdaya saing berbanding bandar raya lain di rantau ini menyebabkan semakin banyak multinasional asing berpindah ke sini,” katanya.
Boyd juga berkata, kadar sewa pejabat di Kuala Lumpur dijangkakan kembali stabil dalam separuh pertama ini setelah jatuh sedikit tahun lalu berikutan kegawatan ekonomi global.
“Kebanyakan syarikat mengurangkan saiz operasi berikutan krisis ekonomi menyebabkan permintaan terhadap ruang pejabat merosot yang membawa kepada penurunan kadar sewaan,” katanya.
Kadar sewa pejabat Gred A di Kuala Lumpur berada pada kemuncak dalam suku keempat 2008 pada RM7.10 sekaki persegi dan seterusnya merosot kira-kira 15 peratus pada suku keempat tahun lalu.
Kadar sewa pejabat Gred A di Kuala Lumpur pada akhir 2009 adalah RM7 sekaki persegi, sama seperti pada suku pertama.
Tahun lalu, 14 bangunan pejabat baru disiapkan di Kuala Lumpur membabitkan keluasan 4.76 juta kaki persegi ruang sewaan.
Boyd berkata, penawaran bangunan pejabat baru di Kuala Lumpur dijangka bertambah dalam tempoh tiga tahun akan datang sekali gus meningkatkan daya tarikannya sebagai lokasi menjalankan perniagaan.
“Bangunan pejabat baru ini akan menawarkan ruang sewaan tambahan berjumlah 2.40 juta kaki persegi,” katanya.