January 22, 2010

Pasaran saham berkembang 15 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR 21 Jan. - OSK-UOB Unit Trust Management Bhd. (OSK-UOB) meramalkan indeks Bursa Malaysia (FBM-KLCI) tahun ini tumbuh 14 hingga 15 peratus sejajar pemulihan ekonomi tempatan.

Manakala pendapatan bursa saham itu dijangka meningkat 28 hingga 30 peratus.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif OSK-UOB, Ho Seng Yee berkata, walaupun keadaan pasaran saham tidak menentu tetapi peningkatannya dijangka berlaku secara beransur-ansur.

Katanya, aliran peningkatan itu berterusan mulai tahun lalu.

"Tahun lalu, indeks bursa saham meningkat 40 hingga 45 peratus setelah ia mengalami kejatuhan teruk,'' kata beliau selepas sidang akhbar mengenai OSK-UOB Asia Consumer Fund di sini hari ini.

Ketika ditanya tentang pemulihan ekonomi tahun ini, Seng Yee berkata, banyak faktor yang memungkinkan pemulihan ekonomi tempatan termasuk banyak projek kerajaan dilaksanakan untuk merangsang ekonomi.

Selain itu, kata beliau, pakej rangsangan kerajaan sebanyak RM67 bilion turut berjaya meningkatkan prestasi ekonomi negara.

''Pengguna mula yakin untuk berbelanja dan keadaan ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,'' kata beliau lagi.