January 14, 2010

Model baru ekonomi tarik pelabur asing

PEMBENTUKAN dasar baru yang menarik khususnya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) serta model baru ekonomi adalah penting bagi Malaysia untuk menarik kemasukan pelaburan asing, seterusnya menyokong pertumbuhan ekonominya.

Ketua Pelaburan Prudential Fund Management Services yang berpangkalan di Singapura, Robert Rountree, berkata walaupun Malaysia kekal baik pada mata pelabur asing, ia kini berdepan persaingan sengit dengan negara Asia lain khususnya China, India dan Indonesia.

“Malaysia berdepan cabaran besar dalam menarik kemasukan pelaburan asing. Umumnya, pasaran negara ini adalah baik tetapi wujud prospek yang lebih tinggi khususnya dari segi pertumbuhan ekonomi di China, India serta Indonesia yang memiliki penduduk lebih besar,” katanya pada taklimat Tinjauan Pasaran 2010 di Kuala Lumpur, semalam.



Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pelaburan, Prudential Fund Management Bhd (PFMB), Bernice Law, berkata faktor yang bakal menjadi pemacu peningkatan pasaran tempatan tahun ini adalah pengukuhan asas ekonomi, perubahan dasar kerajaan, aktiviti pengambilalihan dan penggabungan serta penyusunan semula korporat dan penyenaraian syarikat baru di Bursa Malaysia.

“Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah liberalisasi sektor perbankan dan pakej rangsangan ekonomi. Ia jelas memberi kesan positif kepada pasaran.

“Tahun ini, dijangka ada beberapa dasar baru akan diumumkan dan ia dinantikan pasaran. Bagaimanapun, kunci utama kenaikan pasaran dan peningkatan pelaburan bergantung kepada kaedah pelaksanaan dasar itu,” katanya