KUALA LUMPUR 27 Jan. - Impak kewangan ke atas usaha sama Sime Darby dengan Sunrise Group amat sedikit, kata ECMLibra Investment Research.
ECMLibra Investment juga menyatakan yang usaha sama itu sudah pastinya seiring dengan aspirasi segmen Sime Property, kata syarikat itu dalam kenyataannya hari ini.
Sime Darby Property Bhd. dan Sunrise Bhd. semalam mengumumkan yang kedua-dua telah memeterai usaha sama untuk memajukan tiga lot tanah komersial pegangan kekal kepada Perbandaran Baru Bukit Jelutong.
Projek itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM1.0 bilion. Kedua-dua syarikat juga telah membentuk syarikat usaha sama 50:50 untuk memajukannya.
"Kami percaya langkah itu terangkum di dalam pelan induk Kumpulan untuk Sime Darby Vision Valley (SDVV), di mana mereka dijangka mengumumkan lebih banyak butiran mengenainya tidak lama lagi," katanya.
ECMLibra Investment Bukit Jelutong merupakan sebahagian daripada SDVV dikenali sebagai Bandar Wawasan Selangor yang terdiri daripada Bukit Jelutong (90 peratus siap), Denai Alam (30 peratus siap) dan Elmina dan Pusat Logistik Lagong. - Bernama