KUALA LUMPUR 12 Jan - Harga saham di Bursa Malaysia mencatatkan paras penutupan yang bercampur-campur hari ini ekoran jualan berterusan di kaunter-kaunter berwajaran tinggi selepas kenaikan kebelakangan ini, kata peniaga.
Pada pukul 5.30 petang, penunjuk pasaran, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 1.66 mata kepada 1,292.85 setelah dibuka 0.49 mata lebih tinggi pada 1,295.
Peniaga-peniaga berkata pasaran nampaknya beralih arah sejajar dengan dagangan kurang bermaya di bursa-bursa serantau lain dan prestasi semalaman di Wall Street yang hanya meningkat sedikit.
Indeks Dow Jones meningkat 0.4 peratus kepada 10,663.99, manakala Indeks Standard & Poor"s 500 menokok 0.2 peratus kepada 1,146.98 manakala Indeks Nasdaq turun 0.2 peratus kepada 2,312.41.
Indeks Kewangan naik 12.521 mata kepada 11,276.37, Indeks Perusahaan susut 6.06 mata kepada 2,698.85 dan Indeks Perladangan turun 8.04 mata kepada 6,535.42.
Indeks FBMEmas meningkat 8.18 mata kepada 8,723.14, Indeks FBMTop 100 turun 1.25 mata kepada 8,475.72, FBMACE mengukuh 77.89 mata kepada 4,588.19 dan Indeks FBM70 naik 36.551 mata kepada 8,577.36. Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 483 berbanding 275 manakala 248 kaunter tidak berubah dan 300 yang lain tidak diniagakan.
Jumlah dagangan bertambah kepada 1.681 bilion saham bernilai RM1.778 bilion daripada 1.40 bilion saham bernilai RM1.54 bilion semalam.
Maybank Investment Bank berkata petunjuk carta yang positif mungkin mendorong peningkatan Indeks FBM KLCI ke arah paras halangan utama baru pada 1,305.09 dalam jangka terdekat ini.
Antara saham cergas, TMC Life Sciences naik lapan sen kepada 44.5 sen, Incken meningkat 10.5 sen kepada 63.5 sen, Mtronic menokok setengah sen kepada 10 sen, IRCB menambah 13 sen kepada RM1.47 dan Stemlife mengukuh sembilan sen kepada 76 sen.
Jumlah dagangan dalam Pasaran Utama bertambah kepada 1.434 bilion saham bernilai RM1.694 bilion daripada 1.22 bilion saham bernilai RM1.51 bilion semalam.
Pasaran ACE menyaksikan jumlah dagangannya meningkat kepada 197.297 juta unit bernilai RM73.984 juta daripada 120.48 juta unit bernilai RM23.41 juta sebelumnya.
Waran susut kepada 27.615 juta unit bernilai RM5.483 juta daripada 30.82 juta unit bernilai RM5.84 juta.
Barangan pengguna menguasai 100.573 juta saham yang diniagakan dalam Pasaran Utama, barangan perusahaan 371.485 juta, pembinaan 52.359 juta, perdagangan dan perkhidmatan 370.586 juta, teknologi 162.611 juta, prasarana 15.717 juta, kewangan 79.871 juta, hotel 828,700, harta 164.638 juta, perladangan 112.127 juta, perlombongan 193,400, REIT 3.427 juta dan dana tertutup 53,500. - Bernama