KUALA LUMPUR 26 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada dua peratus.
Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengadakan mesyuaratnya yang pertama bagi tahun ini.
BNM berkata, meskipun momentum pertumbuhan ekonomi serantau dijangka terus kukuh pada 2010, masih wujud ketidakpastian mengenai prospek pertumbuhan ekonomi negara-negara maju.
Ini kerana pertumbuhan terus bergantung pada langkah-langkah rangsangan dasar dan permintaan sektor swasta yang mapan ketika langkah pemulihan dan reformasi sistem kewangan sedang dilaksanakan.
Menurut BNM, dasar monetari akan kekal menyokong pertumbuhan bagi memastikan pemulihan ekonomi betul-betul kukuh.
Pada masa yang sama, MPC juga menyedari akan keperluan untuk memastikan pendirian dasar monetari adalah wajar bagi mengelak ketidakseimbangan kewangan yang mungkin berlaku disebabkan oleh kadar faedah yang terlalu rendah untuk satu tempoh masa yang lama.
Bagi ekonomi dalam negeri, petunjuk terkini menunjukkan bahawa prestasi adalah menggalakkan pada suku keempat 2009.
Perkembangan positif dalam pengeluaran perkilangan, aktiviti pembiayaan, perdagangan luar dan keadaan pasaran pekerja mengesahkan penilaian bahawa pemulihan ekonomi kini semakin nyata.
Melangkah ke hadapan, ekonomi negara dijangka terus berkembang pada tahun ini dengan pertumbuhan disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, terutamanya penggunaan swasta, dan juga permintaan luar yang bertambah baik.
Inflasi turut positif pada bulan Disember.
Perubahan itu sebahagian besarnya mencerminkan luputnya kesan daripada pelarasan harga runcit bahan api pada tahun 2008.
Kadar kenaikan harga pada tahun 2010 dijangka beransur-ansur, mencerminkan keadaan ekonomi semasa dan mengambil kira beberapa pelarasan dalam harga ditadbir.
Sekiranya tidak ada semakan seterusnya terhadap harga dan tiada kesan pengaruh luar, inflasi dijangka positif, walaupun sederhana pada tahun 2010, kata BNM.