December 30, 2009

TechnoDex sasar ke Papan Utama

TECHNODEX Bhd, syarikat berstatus MSC Malaysia yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menyasarkan memindahkan penyenaraiannya ke Papan Utama menjelang suku ketiga tahun depan.

Ketua Eksekutifnya, Nigel Lee Siew Tat, berkata syarikat itu kini dalam proses mengemukakan permohonan untuk pemindahan penyenaraian itu yang adalah sebahagian pelan pengembangannya untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.

Beliau berkata, TechnoDex juga berharap cadangan pemindahan penyenaraiannya itu dapat membantunya menarik pelabur besar bagi menyokongnya mengembangkan perniagaan dan meneroka pasaran luar negara secara lebih agresif.



"Kami harap pemindahan penyenaraian ini membantu syarikat menjadi lebih teguh dan berdaya saing dalam mengembangkan perniagaan," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

TechnoDex ialah pembekal teknologi perniagaan dalam penyediaan penyelesaian e-niaga.

Bagi tahun kewangan berakhir 20 Jun 2009, ia mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah iaitu RM7.749 juta berbanding RM8.402 juta yang dicatatnya tahun lalu. Bagaimanapun, pendapatannya meningkat kepada RM21.740 juta daripada RM17.303 juta sebelumnya.

Lee berkata, TechnoDex menyasarkan pertumbuhan 20 peratus pendapatan dan keuntungannya tahun depan didorong oleh pengembangan perniagaan dalam talian dan teknologi maklumatnya.

Katanya, syarikat itu dalam proses membida tiga atau empat projek kerajaan yang berpotensi dan jika berjaya meraih kontrak berkenaan, ia berupaya menyumbang pendapatan RM10 juta hingga RM20 juta kepada syarikat mulai tahun depan.