December 1, 2009

Sime Darby labur RM2b di China

KUALA LUMPUR - Sime Darby Bhd. akan melabur RM1 bilion hingga RM2 bilion bagi mengembangkan operasi di China dalam lima tahun akan datang, kata Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid.

Kumpulan itu akan mencari peluang di China dalam kelima-lima perniagaan terasnya iaitu perindustrian, motor, harta, perladangan serta minyak dan gas.

"Kami akan mencari peluang dalam lima perniagaan teras," kata Ahmad Zubir yang juga Pengerusi Sime Darby selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini semalam.

Baru-baru ini Sime Darby menubuhkan Sime Darby (China) Enterprise Management Company Ltd., sebuah anak syarikat yang didaftarkan di China dengan modal berjumlah AS$10 juta (RM33.8 juta).

Unit baru itu menyediakan perkhidmatan kepada perusahaan yang ditubuhkan di China oleh Kumpulan Sime Darby daripada segi pengurusan sumber manusia, pengurusan korporat, pertanyaan maklumat ekonomi, pertanyaan maklumat pelaburan dan perkhidmatan penyumberan luar yang dikontrakkan oleh syarikat seberang laut.