KUALA LUMPUR 21 Dis. - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Japan Petroleum Exploration Co. Ltd. (Japex) hari ini memeteraikan perjanjian awal dengan Kementerian Minyak Iraq untuk membangun medan minyak Garraf di selatan negara itu, demikian menurut jurucakap kementerian itu.
Konsortium itu telah dianugerahkan kontrak pada jualan lelong perlesenan kedua bagi negara itu yang diadakan di Baghdad pada 11 dan 12 Disember lalu.
Timbalan Pengarah di Kementerian Minyak Iraq untuk kontrak petroleum dan lembaga pengarah perlesenan, Abdul Mahdy al-Ameedi menandatangani perjanjian itu untuk Iraq manakala para eksekutif dari Petronas, yang bakal memiliki 60 peratus kepentingan dalam projek itu, memeterai untuk kedua-dua pihak, kata jurucakap itu. Japex memegang baki 40 peratus projek itu.
Kabinet Iraq perlu meluluskan perundingan itu sebelum tandatangan muktamad, menurut jurucakap itu.
Medan minyak Garraf yang terletak di Dhi Qar, selatan Iraq, mempunyai rizab kira-kira satu bilion tong minyak mentah. Medan itu ditemui pada 1984 tetapi belum lagi dibangunkan.
Syarikat itu meminta $1.49 (RM5.06) untuk setiap tong yang dikeluarkan dari medan itu dengan output dijangka 230,000 tong sehari. - Dow Jones