Masyarakat peniagaan Jepun berminat mendapatkan maklumat penuh Model Ekonomi Baru Malaysia dan kemajuan yang dicapai di pelbagai koridor ekonomi, terutama Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak.
Perkara itu dinyatakan pada temu bual Nikkei Business Jepun bersama Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menjelaskan kepada majalah mingguan itu mengenai perancangan umum untuk meningkatkan ekonomi negara kepada pendapatan lebih tinggi berbanding status ekonomi pendapatan sederhana tinggi sedia ada.
Menurutnya, kerajaan sudah merangka Model Ekonomi Baru berasaskan inovasi, kreativiti dan sumber pertumbuhan bernilai tinggi.
“Model ini bertujuan mengalihkan pergantungan kami daripada sektor pembuatan menggunakan tenaga pekerja separuh mahir dan berkos rendah kepada sektor yang memberi tumpuan terhadap perkhidmatan moden dan teknologi tinggi bergantung kepada pekerja mahir dan berpendapatan tinggi.
“Bagi merealisasikannya, kami perlu meningkatkan pelaburan dalam pembangunan modal insan dan membangunkan asas kukuh dalam penyelidikan dan pembangunan, reka cipta dan kejuruteraan dan mengkomersilkan aktiviti penyelidikan,” katanya.- Bernama