December 30, 2009

CIMB Islamic senaraikan sukuk RM2b di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Bursa Malaysia menerima penyenaraian sukuk ringgit pertama oleh CIMB Islamic Bank Bhd. bagi Program Sukuk Rendah Tingkat 2 bernilai nominal sehingga RM2.0 bilion.

Penyenaraian CIMB Islamic itu mengukuhkan lagi cadangan Bursa Malaysia untuk memajukan Malaysia sebagai satu pusat kewangan Islam antarabangsa serta kedudukan CIMB Islamic sebagai peneraju global di dalam kewangan Islam.

"Penyenaraian subhutang Islam kami di Bursa Malaysia mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap pembangunan industri kewangan Islam, dan dalam perkara ini, pasaran modal hutang Islam," kata Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Badlisyah Abdul Ghani dalam satu kenyataannya di sini.

"Walaupun belum menjadi tawaran runcit, kami berharap penyenaraian itu akan menjadi permulaan kepada pembangunan pasaran sukuk runcit yang rancak yang boleh diniagakan di Bursa Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, penyenaraian CIMB Islamic merupakan satu mercu tanda bagi bursa itu kerana mereka adalah institusi kewangan Islam yang pertama menyenaraikan sukuk masing-masing.

"Langkah itu mencerminkan pertalian dan daya tarikan Bursa Malaysia untuk menjadi pemain yang lebih besar di dalam industri kewangan Islam serta untuk meningkatkan keyakinan para pelabur," katanya.

Bursa Malaysia mencatatkan penyenaraian sukuk dan bon yang pertama Petronas dan Cagamas pada Ogos tahun ini, diikuti oleh penyenaraian sukuk bukan ringgit GE Capital pada November.

Regim mesra pelabur itu serta ditambah pula dengan kawal selia dan kerangka Syariah yang teguh telah menjadi platform yang sesuai bagi penyenaraian dan penerbitan sukuk.

Ini membolehkan Malaysia menarik lebih 60 peratus daripada penerbitan sukuk dari seluruh dunia, menjadikan negara sebagai pusat global bagi kewangan dan pelaburan Islam.