December 30, 2009

Bisnes Dunia: China hilang AS$34.4 bilion dana awam

LEBIH AS$34.4 bilion dana awam hilang di China dalam tempoh 11 bulan tahun ini, yang disifatkan juruaudit akibat perbuatan penyalahgunaan, pembaziran dan penipuan.

Akhbar China Daily menyebut, lebih 230 orang, termasuk pegawai kerajaan dihadapkan kepada pihak berkuasa disiplin atau kehakiman berikutan kehilangan dana berkenaan.

Juruaudit Kanan dari Pejabat Audit Nasional China, Liu Jiayi, memberitahu sidang media di Shanghai, audit dijalankan membabitkan 99,000 syarikat, agensi kerajaan dan institusi awam di seluruh negara.



Daripada 234.7 bilion yuan (AS$34.4 bilion) dana yang didapati hilang, 16.3 bilion yuan bagaimanapun sudah diperoleh kembali.

Perdana Menteri, Wen Jiabao, pada satu persidangan mengarahkan juruaudit meningkatkan langkah membanteras rasuah.

Juruaudit negara mempunyai kuasa untuk menyemak akaun kerajaan, tetapi kekurangan kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang bermakna banyak daripada perbuatan di luar kebiasaan itu tidak dikenakan tindakan.

November lalu, Beijing berjanji untuk menghentikan rasuah apabila ia melancarkan pakej rangsangan bernilai empat trilion yuan bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonominya selari dengan kejatuhan besar permintaan eksport kerana krisis kewangan global. - AFP