November 6, 2009

RAM: Tempoh sukar sektor perbankan sudah berakhir

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Tempoh sukar sudah berakhir bagi sektor perbankan Malaysia dan keadaan dijangka bertambah baik apabila ekonomi meningkat semula, demikian menurut RAM Rating Services Sdn. Bhd.

Ketua Penarafan Institusi Kewangannya, Promod Dass berkata, sektor perbankan tempatan mempunyai asas yang kukuh dan sudah cukup bersedia menghadapi liberalisasi memandangkan tahap permodalan dan keuntungan yang kukuh, dibantu oleh persekitaran kadar faedah rendah dan mudah tunai yang banyak.

"Bank-bank tempatan, berkedudukan baik menangani liberalisasi dan produk-produknya hampir setara dengan bank-bank global.

"Mereka bergerak ke hadapan untuk mengembangkan operasi di peringkat serantau dan sistem perbankan Islam akan menjadi satu lagi kelebihan," katanya pada sidang akhbar mengenai Malaysian Banking Update di sini, hari ini.

Promod berkata, persaingan sengit dalam industri perbankan juga akan menyaksikan perubahan dalam kadar deposit di kalangan pengendali bank.

"Tetapi kami tidak rasa ini akan memberi kesan ketara dalam tempoh jangka pendek," katanya.

RAM Ratings berkata, nisbah pinjaman tidak berbayar bank-bank Malaysia diunjur antara tiga dan empat peratus pada 2010, yang hampir kepada jangkaan nisbah 3.8 peratus bagi tahun ini.

Ia berkata, pertumbuhan pinjaman industri juga dijangka meningkat kepada 10 peratus daripada 7 hingga 8 peratus, selepas mengambil kira unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2010.

Ia mengunjurkan pertumbuhan KDNK 4.9 peratus tahun depan berbanding penguncupan 3.3 peratus tahun ini bersandarkan kepada petanda-petanda pemulihan ekonomi global. - Bernama