HUA HIN, Thailand 22 Okt. – Menteri-menteri ekonomi ASEAN hari ini memulakan perbincangan mengenai situasi ekonomi serantau dan memperkemaskan beberapa mekanisme kewangan dan perdagangan sebelum ketua-ketua negara bermesyuarat di Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 di sini mulai Jumaat ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed mengetuai delegasi Malaysia ke Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-2 yang dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Thailand, Pornthiva Nakasai.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN, Vitavas Srivihok berkata, beberapa keputusan kukuh dijangka dicapai selepas sidang kemuncak itu, termasuk Inisiatif Pelbagai hala Chiang Mai bernilai AS$120 bilion (RM420 bilion) yang akan dilancarkan tahun depan.
Beliau berkata, tabung itu, dengan sumbangan negara-negara ahli ASEAN, serta China, Jepun dan Korea Selatan dijangka menyumbang ke arah usaha-usaha pemulihan ekonomi dan pencairan kewangan.
Menteri-menteri juga akan membincangkan pembangunan Rizab Beras Kecemasan ASEAN+3 dengan sasaran permulaan yang lebih awal di sebuah pejabat kekal.
Pada sidang kemuncak itu, 16 ketua negara serantau, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membincangkan tindakan susulan perkembangan usaha China untuk menggalakkan pembangunan prasarana menerusi Tabung China-ASEAN mengenai Kerjasama Pelaburan yang bernilai AS$10 bilion (RM35 bilion) serta Kredit Komersial bernilai AS$15 bilion (RM52.5 bilion).
Turut dalam agenda ialah kerjasama dengan Jepun dalam isu pemanasan global, penggunaan tenaga yang efisien, penguncupan jurang pembangunan di antara negara-negara ASEAN dan kerjasama dengan Korea Selatan mengenai usaha negara itu menangani perubahan cuaca menerusi inisiatif ‘Pertumbuhan Hijau Rendah Karbon’