KUALA LUMPUR 24 Sept - Ringgit ditutup tidak berganjak berbanding dolar AS hari ini dan tidak berubah daripada paras penutup semalam pada 3.4620/4670 apabila beberapa minat belian bagi mata wang tempatan itu membantu mengecilkan penurunan terdahulu, kata para peniaga.
Para peniaga juga berkata sentimen bagi ringgit mendapat rangsangan selepas kenyataan daripada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bahawa permintaan domestik Malaysia menunjukkan petanda jelas pemulihan.
Bagaimanapun, ringgit berada dalam jajaran ketat apabila para pelabur berhati-hati dengan pengukuhan dolar AS berbanding mata wang utama dengan Rizab Persekutuan AS memutuskan untuk mengekalkan rejim kadar faedah hampir sifar.
Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura pada 2.4484/4554 daripada 2.4499/4569 semalam dan rendah berbanding yen pada 3.8274/8333 daripada 3.8077/8153 sebelumnya.
Unit tempatan itu naik berbanding pound British pada 5.6170/6258 daripada 5.6874/6973 semalam dan meningkat berbanding euro pada 5.1110/1202 daripada 5.1206/1291 sebelumnya.
- Bernama