September 26, 2009

Peraturan pasaran modal perlu kukuh, teratur

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

PENGUKUHAN peraturan dan perundangan pasaran modal kini amat kritikal dalam memastikan perjalanan pasaran modal yang lebih teratur serta menyediakan perlindungan kepada pelabur.

Konsul Besar Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, Wong Sau Ngan, berkata langkah demikian berupaya meningkatkan kembali keyakinan pelaburan yang kini terjejas ekoran krisis kewangan global.

“Pasaran modal adalah urus niaga yang amat penting kini. Kita tidak mahu amalan tidak beretika dan aktiviti manipulasi berlaku. Pelabur juga perlu diberi maklumat jelas untuk memahami instrumen pelaburan yang menarik perhatiannya.



“Untuk tempoh akan datang, pengukuhan peraturan khususnya berkaitan perlindungan pelabur amat kritikal kerana keyakinan pelabur dapat memastikan pasaran modal terus mantap,” katanya selepas menyampaikan ceramah di Forum Sekolah Undang-undang Kewangan dan Perbankan 2009 di Kuala Lumpur, semalam.

Wong berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai rungutan sebilangan pelabur bahawa tindakan pihak berkuasa memperketatkan peraturan pasaran modal akan hanya menjadikan ia kurang menarik berbanding sebelumnya kerana mengehadkan aktiviti spekulasi.

“Kita tidak boleh bertolak ansur mengenai perlindungan pelabur. Terdapat garisan tipis yang memisahkan antara pelaburan dan spekulasi. Bagaimanapun, perlu terdapat ruang bagi sebilangan pelabur untuk membuat spekulasi.

“Namun jika dilihat dari segi kepentingan orang awam, mereka melabur misalnya menggunakan dana persaraan mereka, maka perlu ada mekanisme untuk memastikan pelabur faham dan tahu mengenai pelaburan mereka, khususnya mengenai produk pelaburan kompleks yang wujud kini.

“Peraturan akan memastikan institusi kewangan lebih bertanggungjawab dalam memasarkan produk pelaburan mereka,” tegas Wong.

Beliau menjelaskan, SC sedang menyemak semula Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan serta Akta Suruhanjaya Sekuriti yang dibentang di Parlimen pada bulan depan.