KUALA LUMPUR 25 Sept. - Malaysia dan Thailand yang dijangka mencatatkan pertumbuhan negatif tahun ini akan menyaksikan pemulihan kukuh pada 2010 apabila harga komoditi dan permintaan segar semula, demikian menurut Standard & Poor's (S&P).
Ini disebut dalam satu artikel bertajuk In The ASEAN Region It's A Case Of Slow But Steady Improvement, oleh Ketua Pakar Ekonomi Asia Pasifik S&P, Dr Subir Gokarn.
Ia meliputi tinjauan ekonomi bagi Thailand, Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Dalam artikel yang diedarkan oleh S&P kepada pihak media hari ini, Gokarn berkata, negara-negara ASEAN sedang bangkit daripada suku pertama yang sukar dan memperlihatkan peningkatan yang beransur-ansur dalam suku kedua, apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertambah baik pada keseluruhannya.
"Di sebalik berita buruk dan ketidakpastian yang melanda Amerika Syarikat dan Eropah, tindakan dasar yang tepat pada masanya serta kekuatan fundamental dalam ekonomi di rantau ini, membantu negara-negara ASEAN mengharungi krisis dan mengatasi penyusutan eksport sebanyak dua angka ini dengan lebih baik.
"Suku kedua menandakan permulaan pemulihan ini, apabila pertumbuhan KDNK bulan berbanding bulan melonjak keseluruhannya. Anjakan permintaan daripada eksport kepada permintaan domestik, menjadi sebab utama bagi pemulihan ini," jelasnya.
Beliau berkata, pelaksanaan pesat dasar fiskal dan monetari baru-baru ini dan permintaan global yang beransur-ansur stabil mulai mencetuskan kerancakan pengeluaran industri domestik dan eksport.
Menurut Gokarn, faktor China terus membuktikan ia penting kepada prestasi dan prospek ASEAN. - Bernama