September 1, 2009

Malaysia digesa rebut peluang pelaburan di Sri Lanka

PULAU PINANG 31 Ogos - Pelabur dari negara ini khususnya dari negeri ini mempunyai peluang yang luas untuk meneroka sektor perdagangan dan pelaburan baru terutama dalam industri telekomunikasi, infrastruktur dan pelancongan di Sri Lanka.

Menteri (Komersial) di Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur, D. W. Jinadasa berkata, negaranya mengamalkan dasar ekonomi bebas tanpa sekatan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan undang-undang pelaburan yang liberal bagi menarik pelaburan.

Bertepatan dengan hasrat itu menurut Jinadasa, pihaknya juga kerap mengadakan kunjungan ke negara luar bagi membantu menarik lebih banyak lagi pelabur ke Sri Lanka yang suatu masa dahulu pernah terbabit dalam perang etnik selama 25 tahun.

''Dengan kewujudan kerajaan yang lebih stabil, persekitaran ekonomi yang lebih memberangsangkan serta keyakinan rakyat yang lebih tinggi, banyak peluang perniagaan dan pelaburan di Sri Lanka dapat diteroka pelabur Malaysia.

''Datanglah sendiri ke Sri Lanka, lihat sendiri peluang perniagaan yang wujud di sana, jangan dengar apa orang lain kata. Sri Lanka kini menawarkan peluang perniagaan yang amat lumayan.

''Pelabur juga tidak lagi perlu takut untuk melabur kerana pemberontakan militan selama 25 tahun yang melanda Sri Lanka telah berlalu ," kata beliau di sini baru-baru ini.

Menurut Jinadasa, kemudahan infrastruktur dan sistem pengurusan yang berkesan memberi jaminan kepada para pelabur dunia untuk memulakan pelaburan mereka di negara tersebut.

''Bagi menggalakkan lagi pelaburan, kerajaan Sri Lanka mengamalkan dasar 'mesra pelabur' yang memberi peluang kepada pelabur untuk menerokai pelbagai bidang ekonomi secara sendiri tanpa perlu mencari rakan kongsi tempatan.

''Mereka boleh membina, melaksanakan projek dan mencari pekerja sendiri tanpa sebarang karenah birokrasi atau halangan. Mereka punya 100 peratus pegangan terhadap syarikat atau kilang yang dibina," katanya.

Katanya, Sri Lanka juga memberikan pelbagai kemudahan kepada pelabur asing termasuk insentif cukai menarik iaitu pengecualian cukai antara 5 tahun hingga 10 tahun mengikut saiz pelaburan, kemudahan pengangkutan dan tenaga kerja.

'Kerjasama dan panduan dari kerajaan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama merupakan satu sumber terbaik bagi Sri Lanka meningkatkan pencapaian ekonomi terutama dalam bidang pembuatan, perkilangan dan pelancongan.

''Justeru, kerjasama ini sewajarnya kita pereratkan lagi dengan menggalakkan lebih ramai pelabur Malaysia melabur di Sri Lanka. Ia merupakan hubungan dua hala yang mampu membantu meningkatkan ekonomi kedua-dua negara," ujarnya.