INFLASI di Malaysia dijangka kekal pada kadar yang rendah hingga akhir 2009 kerana ekonomi diunjurkan menguncup sebanyak empat hingga lima peratus tahun ini disebabkan oleh eksport yang lemah dan penyusutan permintaan domestik.
Dalam laporan Kajian Ekonominya, Public Bank Bhd berkata seperti negara sedang berkembang lain, harga di Malaysia juga mengalami deflasi.
“Selepas mencecah paras puncak inflasi pada lebih 8 peratus pada Julai tahun lalu, indeks harga pengguna di Malaysia turun bagi dua bulan berturut-turut kepada negatif 2.4 peratus pada Julai 2009.
“Ini disebabkan oleh penurunan harga minyak dan komoditi berbanding paras tertinggi semua harga tahun lalu,” katanya.
Bank itu berkata, berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan prospek ekonomi global yang muram dalam jangka masa terdekat ini, tiada kemungkinan inflasi akan muncul dalam ekonomi global.
“Di Asia, aliran deflasi semasa akan berterusan sepanjang tempoh sementara yang disebabkan kelembapan ekonomi global ini,” katanya.
Katanya, Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhannya bagi Asia Timur dan Pasifik yang pesat berkembang kepada lima peratus tahun ini, daripada anggaran 5.3 peratus sebelumnya, disebabkan kemerosotan permintaan domestik dan luar negara.
Public Bank berkata, meskipun Asia mempunyai asas ekonomi kukuh dan kekuatan sedia ada bagi pemulihan lebih cepat, prospek pemulihan kukuh dan mapan di rantau ini masih bergantung kepada prestasi ekonomi maju.
Ia berkata, selama ini, Asia bergandingan dengan ekonomi maju melalui liberalisasi perdagangan dan pelaburan serta globalisasi.