TAHAP permodalan sistem perbankan tempatan kekal teguh, dengan nisbah modal berwajaran risiko (RWCR) dan nisbah modal teras (CCR) masing-masing stabil pada 14.2 peratus dan 12.6 peratus.
Bank Negara Malaysia dalam kenyataannya berkata, asas modal agregat sistem perbankan negara ini pada bulan lalu meningkat 1.3 peratus hasil daripada program pengumpulan modal oleh dua institusi perbankan. Sementara itu, katanya, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) bertambah baik pada 2.1 peratus berikutan pengurangan dalam pinjaman tidak berbayar.
NPL mutlak juga terus susut terutama disebabkan penyusutan jumlah NPL baru manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman mengukuh kepada 92 peratus. Bank pusat berkata, dana bersih dikumpul dalam pasaran modal berjumlah RM10.5 bilion pada Julai. Sektor awam mengumpul dana berjumlah RM9.5 bilion melalui Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) lima tahun dan pembukaan semula Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun, sementara dana kasar yang dikumpul sektor swasta melalui terbitan sekuriti sektor swasta berjumlah RM3.2 bilion.
Katanya, permintaan bagi pembiayaan terus meningkat pada Julai. Sektor isi rumah mencatatkan permohonan dan kelulusan pinjaman lebih tinggi, terutama bagi pembelian harta kediaman dan bukan kediaman, kereta penumpang dan kad kredit. Pengeluaran pinjaman juga meningkat dan ini mendorong pertambahan pinjaman isi rumah yang belum berbayar, mengikut kadar tahunan, sebanyak sembilan peratus pada Julai.