PURATA jumlah pelaburan Bumiputera dalam Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) meningkat 421 peratus kepada RM14,591 setiap akaun tahun ini daripada RM2,798 setiap akaun pada 2005. Peningkatan itu adalah lebih tinggi berbanding purata jumlah pelaburan bukan Bumiputera dalam saham amanah itu yang hanya meningkat 150 peratus kepada RM11,281 setiap akaun daripada RM4,531.
Mengulas perkembangan itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata ia menunjukkan pertambahan penyertaan Bumiputera dalam ASW2020 itu.
“Perkembangan itu amat menggalakkan. Ia menggambarkan Bumiputera semakin ‘ada duit’ dan mulai menabung khususnya dalam unit amanah ASW2020,” katanya di Kuala Lumpur minggu lalu. Sejak ASW2020 diperkenalkan pada 28 Ogos 1996, saham amanah berharga tetap itu memilik 872,322 pelabur yang melanggan 11.01 bilion unitnya.
Hamad Kama Piah berkata, pada asas tahunan iaitu daripada akhir Julai tahun lalu hingga kini, jumlah pelaburan Bumiputera dalam saham amanah itu meningkat daripada kira-kira 3.4 bilion unit kepada sekitar 4.8 bilion unit, manakala pelaburan bukan Bumiputera meningkat daripada 4.3 bilion unit kepada kira-kira enam bilion unit.
Beliau juga menegaskan, secara umumnya PNB telah menjual 14.5 bilion unit saham amanah dalam tempoh lapan bulan tahun ini termasuk menerusi Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) yang dilancarkan 5 Ogos lalu serta penambahan unit dana ASW 2020 dan Amanah Saham Malaysia (ASM). “Daripada 14.5 bilion unit amanah yang dilanggan dalam tempoh lapan bulan tahun ini, 7.7 bilion adalah oleh Bumiputera dan 6.8 bilion bukan Bumiputera,” katanya.
Mengenai AS 1Malaysia, Hamad Kama Piah berkata, sehingga Khamis minggu lalu sejumlah 1.962 bilion unit saham amanah itu sudah dijual. “Walaupun ada yang mengatakan bahawa jualan saham amanah itu agak perlahan, namun ia secara umumnya lebih baik berbanding dana seumpamanya seperti ASW2020 dan ASM ketika dana berkenaan dilancarkan dulu.
“Semasa ASW2020 dilancarkan (28 Ogos 1996), hari pertama kita dapat jual cuma 70.18 juta unit. Semasa kita lancarkan ASM (20 April 2000), ia dilanggan 173.6 juta pada hari pertama. Tetapi bagi AS 1Malaysia, sejumlah 1.08 bilion dilanggan pada hari pertama. Justeru, dari segi permintaan, ia adalah cukup baik,” katanya.