KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pengurangan perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan sebanyak 15 peratus tidak akan mengurangkan defisit bajet kepada tujuh peratus seperti yang dijangkakan.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Datuk Dr. Mohamed Ariff berkata: ''Pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak 15 peratus sukar dicapai (tall order)."
''Jangkaan yang lebih rendah (bajet defisit) mungkin terlalu optimistik,'' katanya ketika ditemui di Seminar Wawasan Industri anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
-baru ini, Menteri Kewangan Kedua berkata, perbelanjaan operasi kerajaan Persekutuan akan dipotong 15 peratus di dalam Bajet 2010.
Malah, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan juga menyasarkan defisit lebih rendah berbanding dengan tahun ini, yang dijangka mencecah 7.6 peratus.
Tambahnya, pendapatan kerajaan juga diramal lebih rendah berbanding jangkaan sekiranya ekonomi negara berada dalam aliran semasa.''Kutipan cukai pada tahun depan pasti menyusut berbanding tahun ini ekoran prestasi ekonomi yang terjejas pada tahun ini.
''Jadi, secara teorinya kerajaan akan mengalami bajet defisit iaitu lebih daripada dua digit Keluaran Dalam Negara Kadar'' jelasnya.
Mohamed Ariff berkata, bajet defisit dijangka mencecah 10 hingga 11 peratus meskipun perbelanjaan operasi dikurangkan sebanyak 15 peratus.Beliau berkata, angka itu bukan yang tertinggi kerana Malaysia pernah mencatatkan bajet defisit pada 1992 sebanyak 16 peratus.
''Sebenarnya tidak mudah untuk mengurangkan perbelanjaan operasi sekali gus sebanyak 15 peratus kerana perlu dibuat secara berperingkat-peringkat,'' katanya.Malah, katanya, kerajaan mungkin terpaksa mengeluarkan belanja lebih banyak untuk perbelanjaan lain.''Ini kerana kita sedang bercakap mengenai penstrukturan ekonomi. Ia adalah langkah jangka panjang yang memerlukan kerajaan berbelanja,'' kata beliau.