KUALA LUMPUR 20 Ogos - Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan dolar yang lemah selain harapan yang semakin meningkat bahawa ekonomi dunia akan pulih, kata peniaga.
Pada 5 petang, ringgit kukuh pada 3.5260/5290 berbanding dolar daripada 3.5450/5490 semalam.
Dolar AS rendah berbanding sekumpulan mata wang lain susulan pantulan di Wall Street dan pasaran saham dunia, mengurangkan permintaan untuk mata wang yang lebih selamat itu.
Kekukuhan ringgit juga dipengaruhi oleh kenaikan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI)yang naik 7.9 mata untuk ditutup kepada 1,1643 berbanding semalam 1155.53. Berbanding mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.
Ia tinggi berbanding dollar Singapura kepada 2.4361/4432 berbanding 2.4398/4449 semalam, serta berbanding yen kepada 3.7368/7403 daripada 3.7581/7643 sebelumnya.
Bagaimanapun ia rendah berbanding euro kepada 5.0193/0246 daripada 4.9974/9041 semalam dan berbanding pound British kepada 5.8302/8373 daripada 5.8085/8157 sebelumnya.