August 18, 2009

CIG labur RM1.36b sedia hab pembuatan di China

CUBIC Integrated Group (CIG), penyedia penyelesaian bersepadu tempatan semalam memeterai perjanjian pelaburan dengan Suruhanjaya Pentadbiran Taman Perindustrian Wanzhou untuk membina hab pembuatan bersepadu global bernilai AS$400 juta (RM1.36 bilion) di Chongqing, China.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Goh Seng Chong, berkata hab pembuatan bersepadu itu memberi tumpuan khusus kepada pengeluaran peralatan elektronik dan elektronik seperti pembuat kopi, pengisar, seterika, televisyen LCD, pemanas air, pengering rambut dan pembersih vakum untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Pelaburan AS$400 juta itu bagi tempoh lima tahun dengan sasaran pendapatan AS$1.42 bilion (RM4.8 bilion) untuk tempoh lima tahun pertama,” katanya sambil menambah pelaburan dibuat menerusi syarikat usaha sama Chongqing Innoteam Industry Co Ltd.

CIG menguasai 20 peratus kepentingan dalam Chongqing Innoteam Industry. Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian pelaburan berkenaan di Kuala Lumpur, semalam. Goh mewakili CIG, manakala Suruhanjaya Pentadbiran Taman Perindustrian Wanzhou oleh Pengarahnya, Li Shiming.

Goh berkata, hab pembuatan bersepadu global itu dijangka menguasai kawasan seluas 0.86 kilometer persegi dengan kawasan binaan 0.47 kilometer persegi. CIG juga, katanya, akan menubuhkan syarikat pegangan pelaburan milik penuh di Wanzhou dikenali sebagai Cubic Integrated Wanzhou Co Ltd sebagai platform untuk menerokai lebih banyak peluang pelaburan di daerah itu.

Dalam perkembangan lain, Goh yang ketika ini menguasai 80.1 peratus kepentingan dalam CIG berkata, beliau bersedia untuk menjual sebahagian daripada saham miliknya dalam CIG kepada Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).