July 29, 2009

Urus niaga komoditi maya

Oleh KHAIRUDDIN MOHD AMINbisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Julai – Bursa Malaysia akan memperkenalkan urus niaga perdagangan komoditi berlandaskan Syariah secara maya, dikenali sebagai Commodity Murabahah House (CMH), pada Ogos ini.

Di bawah urus niaga itu, perdagangannya dibuat secara maya menerusi laman web tetapi ia melibatkan aset fizikal.

Buat permulaan, urus niaga yang disasarkan kepada institusi kewangan, akan menggunakan kontrak komoditi minyak sawit (msm) dalam mata wang ringgit sebelum dipelbagaikan mata wangnya dalam usaha menarik para peserta luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, institusi kewangan tempatan dijangka memulai urus niaga ini sebelum diikuti pelabur-pelabur dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada awal tahun depan.

‘Bagi pasaran Malaysia, kami menyasarkan (transaksi) beberapa ratus juta sehingga RM1 bilion, saya tidak dapat nyatakan angkanya kerana ia tiada had,’’ kata beliau pada sidang media selepas taklimat mengenai CMH di sini hari ini.

Pada majlis itu, satu memorandum penyertaan CMH juga dimeterai melibatkan 26 syarikat yang terdiri daripada pembekal komoditi, institusi kewangan dan syarikat berkaitan.
CMH akan dikendalikan oleh Bursa Malaysia Islamic Services Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia.

Menurut Yusli, pihaknya telah berbincang dengan institusi kewangan GCC yang beroperasi di negara ini untuk melibatkan diri dalam urus niaga komoditi itu sebelum mengembangkannya ke pasaran antarabangsa.

Tambah beliau, CMH akan saling menyokong bursa konvensional dan ia juga disasarkan menjadi platform komoditi antarabangsa semasa yang mematuhi prinsip Syariah iaitu Murabahah, Tawarruq dan Musawwamah.

‘‘Komoditi awal yang akan diniagakan ialah MSM dan penerokaan ini (pengenalan CMH) akan memperkukuhkan dua peserta global dari negara ini, iaitu bank Islam dan pengeluar MSM di peringkat antarabangsa,’’ jelasnya.