July 24, 2009

Tamansari maju hartanah RM4.77b

TAMANSARI Development Corporation (Tamansari), sebuah syarikat usaha sama antara Asie Sdn Bhd dengan syarikat dari Thailand, Saha Regal Best Co Ltd, akan memajukan projek pembangunan hartanah bercampur, Taman Sari di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pengerusi Asie, Datuk Khalil Akasah, berkata fasa pertama projek itu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.77 bilion akan dimulakan pembangunannya awal September ini membabitkan kawasan seluas 3.2 hektar di tapak perumahan flet Pekeliling yang dirobohkan pada 2007.

Beliau berkata, ia antara lain akan mengandungi menara berputar setinggi 60 tingkat dianggarkan bernilai RM1.2 bilion yang bakal menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur.

Katanya, komponen lain termasuk apartmen servis dan menara pejabat, hotel bertaraf lima bintang dan hotel bajet serta pusat perubatan. “Pembangunan keseluruhan projek Taman Sari ini akan membabitkan 27 parcel di kawasan seluas 22.8 hektar. Menara berputar yang akan dimajukan dalam fasa pertama akan menggunakan teknologi moden yang mampu bertahan daripada gempa bumi,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian pelaburan bagi fasa pertama projek itu di Kuala Lumpur semalam.

Majlis itu disaksikan Pengerusi Tamansari, Tan Sri Hashim Meon dan bekas Perdana Menteri Thailand, Jeneral Chavalit Yongchaiyudh.

Khalil berkata, projek pembinaan apartmen servis dengan 242 unit dan menara pejabat setinggi 25 tingkat di podium komersial akan dilaksanakan bermula September ini diikuti dengan pembinaan parcel lain.

Mengenai menara berputar, beliau berkata, ia akan menempatkan masing-masing 16 tingkat untuk ruang pejabat dan bilik hotel 288 bilik, 22 tingkat apartmen servis dan penthouse selain enam tingkat ruang niaga.