July 22, 2009

Sime Darby hantar pasukan ke Weifang

SIME Darby Bhd akan menghantar satu pasukan ke China bagi mengkaji secara lebih terperinci berhubung cadangan pembabitannya dalam projek pembangunan hartanah bersepadu mega di Kawasan Perindustrian Weifang di negara itu, kata Presiden dan Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid.

“Kami akan membuat lebih banyak kajian mengenai Kawasan Perindustrian Weifang yang ditawarkan kerajaan Wilayah Weifang kepada Sime Darby menerusi kerajaan Malaysia untuk dimajukan. “Justeru, kami akan satu pasukan ke sana bagi membuat satu kajian yang lebih mendalam. Selepas itu, kami boleh memberikan penjelasan lebih lanjut,” katanya.

Ahmad Zubir yang ditemui selepas majlis pelancaran ‘Inisiatif Bandar Selamat’ Ara Damansara di Petaling Jaya, semalam berkata, Sime Darby dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk melengkapkan kajian itu.

Beliau menjelaskan, Sime Darby dijangka membangunkan lot perindustrian di kawasan berkenaan yang turut dilengkapi dengan unit komersial dan kediaman. Mengenai keluasan kawasan itu, Ahmad Zubir berkata, pada peringkat awal, saiz sebenar yang dijangka dibangunkan adalah kira-kira 100 kilometer (km) persegi daripada keluasan keseluruhan berjumlah kira-kira 700 km persegi.

“Saiz awal yang dijangka dibangunkan adalah kira-kira 100 km persegi daripada keseluruhan kawasan kira-kira 700 km persegi. Nilai pembangunan kasar (GDV) pula belum diketahui,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika lawatan rasminya ke China baru-baru ini, mengumumkan bahawa konglomerat itu ditawarkan projek pembangunan bernilai berbilion dolar di Weifang.

Pembabitan Sime Darby dalam projek itu mungkin menjadi antara pembabitan terbesar oleh sebuah syarikat asing di China. Dalam perkembangan lain, Ahmad Zubir berkata, Sime Darby yakin mencatatkan prestasi kewangan yang disasarkannya bagi tahun ini, tetapi jumlahnya tidak setinggi tahun lalu.

“Insya-Allah ia mengikut jangkaan kami. Meskipun harga minyak sawit mentah turun, namun ia akan diimbangi pendapatan daripada bahagian lain,” katanya.