July 29, 2009

RAM semak semula unjuran KDNK

KUALA LUMPUR 28 Julai – RAM Holdings Bhd. (RAM) menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara (KDNK) negara pada tahun ini kepada -3.3 peratus berbanding 0.9 peratus sebelum ini.

Laporan Tinjauan Ekonomi yang dibuat oleh agensi itu berkata, semakan itu dibuat selepas mengambil kira penyusutan yang ketara bagi permintaan dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, unjuran bagi pertumbuhan KDNK pada 2010 ditingkatkan kepada 4.9 peratus berbanding 3.8 peratus sebelum ini berikutan hasil rangsangan fiskal dan polisi monetari yang agresif.

Ekonomi Malaysia bagi suku pertama menyusut sebanyak 6.2 peratus pada suku pertama 2009, kemerosotan melampau sejak krisis kewangan Asia pada 1998.

Menurut laporan tersebut, dalam sesuatu krisis, sektor eksport yang akan menyelamatkan sesebuah negara daripada dilanda kemelesetan.

Katanya, dalam situasi semasa, pengurangan permintaan eksport dari negara-negara yang dilanda krisis, yang kebanyakannya ekonomi maju menyebabkan pemulihan ekonomi negara dijangka sederhana pada 2009 dan 2010.

Dengan pemulihan yang sederhana di kebanyakan negara maju, prestasi eksport Malaysia pada tahun ini disemak menguncup kepada 17.4 peratus sebelum kembali sederhana 6.4 peratus pada 2010.

Pertumbuhan perbelanjaan swasta juga merosot kepada -2.3 peratus pada tahun ini disebabkan penyusutan berpanjangan dalam pengeluaran, sekali gus melembapkan pasaran buruh dan mengurangkan keyakinan pengguna.

Laporan itu berkata, pada masa sekarang berlaku penurunan inventori yang ketara dan permintaan luar dijangka kembali normal pada akhir 2009 dan menstabilkan pasaran buruh.
‘‘Dan pemulihan secara sederhana dalam perbelanjaan swasta dijangka berlaku pada 2010,’’ katanya.

Tambahnya, tinjauan bagi pelaburan persendirian turut disemak daripada 5.6 peratus kepada -3.3 peratus tahun ini.

Menurut laporan itu, meskipun pelaburan persendirian merosot sebanyak 13.3 peratus tetapi pelan rangsangan ekonomi oleh Kerajaan telah membantu meningkatkan perbelanjaan awam.