July 30, 2009

OPR kekal dua peratus

BANK Negara Malaysia memutuskan mengekalkan kadar faedah tempatan pada paras semasa kerana berpendapat ia masih mampu untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu dalam mesyuarat bulanannya semalam memutuskan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada dua peratus.

OPR adalah penanda aras bank tempatan untuk menentukan kadar pinjaman asas (BLR) masing-masing. BLR bank tempatan ketika ini sekitar 5.55 peratus.

Bank Negara dalam kenyataannya mengumumkan keputusan MPC itu berkata, sejak mesyuarat MPC bulan lalu, ekonomi global menunjukkan tanda penstabilan dan keadaan pasaran kewangan antarabangsa amnya bertambah baik.

Katanya, walaupun keadaan ekonomi di negara maju masih lembap, kadar kemerosotan aktiviti ekonomi semakin perlahan. Angka tunjuk terbaru juga, katanya menunjukkan aktiviti ekonomi kebanyakan negara serantau bertambah baik.

“Langkah menstabilkan sistem kewangan di negara maju dan kesan terkumpul rangsangan fiskal dan monetari terus menyumbang kepada peningkatan beransur aktiviti ekonomi di kebanyakan negara,” katanya.

Bank Negara menegaskan, tanda penstabilan juga telah ditunjukkan ekonomi Malaysia pada suku kedua lalu, dengan beberapa angka tunjuk seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian dan kadar pemberhentian pekerja telah mencatat penurunan lebih perlahan.

Pada masa depan, katanya keadaan pasaran pekerja dan sentimen perniagaan dan pengguna yang lebih baik akan menyokong permintaan dalam negara.

Selain itu, pelaksanaan rangsangan fiskal yang lebih pesat, akses kepada pembiayaan yang berterusan dan kadar inflasi yang lebih rendah juga akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara pada separuh kedua tahun ini dan sehingga ke tahun depan, katanya. Bank pusat itu berkata, seperti dijangkakan, inflasi terus menyederhana dan bertukar negatif bulan lalu.

Penurunan inflasi itu, katanya sebahagian besarnya disebabkan kesan statistik yang mencerminkan kenaikan inflasi ketara pada Jun 2008, apabila harga bahan api meningkat berikutan pengurangan subsidi bahan api.

Inflasi yang negatif itu, bagaimanapun katanya, dijangka hanya sementara waktu dan akan bertukar menjadi positif apabila keadaan ekonomi negara bertambah baik. “Berdasarkan penilaian yang dibuat, dengan kadar faedah semasa yang rendah dan rangsangan fiskal yang mula memberikan kesan, langkah dasar yang sedang dilaksanakan adalah memadai untuk memberikan sokongan kepada aktiviti ekonomi,” katanya.