July 22, 2009

Menteri perdagangan APEC akan tangani masalah ekonomi

SINGAPURA, 21 Julai - Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi dan Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bermula dua hari lagi di sini akan membincangkan pelbagai isu ekonomi, termasuk bagaimana 21 anggota Apec memberi respons terhadap krisis ekonomi dan membuat persediaan untuk pemulihan dalam tempoh yang lebih lama.

Menyuarat Menteri-menteri APEC yang bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) yang dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Lim Hng Kiang, akan dimulakan dengan sesi pemungkiman selama sehari di Shangri-La Hotel.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed.

Tumpuan utama mesyuarat itu ialah bagaimana negara anggota APEC perlu memastikan ekonomi supaya lebih eksklusif bagi menyebarkan manfaat secara lebih meluas merentas masyarakat, kata sekretariat APEC.

Menolak perlindungan dan menyokong sistem perdagangan multilateral juga akan menjadi agenda utama mesyuarat itu, katanya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pascal Lamy akan menyertai mesyuarat serta memberi taklimat kepada anggota Apec mengenai perkembangan terkini perdagangan dunia serta Asia Pasifik.
Menggalakkan penyepaduan ekonomi di rantau ini juga menjadi agenda utama APEC.

Mereka juga menyemak kemajuan yang dibuat serta membincangkan cara untuk bergerak ke depan, termasuk mengenal pasti kaedah bagi mengukuhkan kerjasama antara APEC dan WTO.
APEC ialah rakan dagang penting dan sumber pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia. Ia menyumbang 76 peratus daripada dagangan luar Malaysia dan 60 peratus FDI.

Malaysia akan berusaha menyakinkan negara lain supaya terus membuka pasaran masing-masing bagi mengekalkan perdagangan dan aliran pelaburan serta mengelak daripada mengambil sebarang pendekatan yang berbentuk perlindungan.

Malaysia juga akan mengambil peluang untuk mengulangi mengenai perlunya APEC tidak hilang tumpuan ekonominya dalam melaksanakan liberalisasi perdagangan dan pelaburan di rantau ini secara sukarela dan tidak terikat. - BERNAMA