July 30, 2009

LBS sasar jualan RM250j

LBS Bina Group Bhd (LBS), mensasarkan jualan berjumlah RM250 juta menjelang akhir tahun ini berikutan sambutan menggalakkan terhadap projek hartanahnya. Pengarah Urusannya, Datuk Lim Hock San, berkata dua projek utama yang baru dilancarkan syarikat itu awal tahun ini, Iris Garden dan Ruby Garden menerima sambutan menggalakkan dengan semua 420 unit yang ditawarkan dijual dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Katanya, meskipun ada pemaju hartanah berdepan masalah penurunan jualan, susulan persekitaran kelembapan ekonomi global, produk hartanah LBS kekal berdaya saing kerana ia ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki, khususnya golongan berpendapatan sederhana.

“Tumpuan kami adalah terhadap jualan unit kilang serta perumahan dalam kategori kos rendah dan pertengahan. “Dengan harga yang berpatutan, kami yakin dapat mencapai sasaran jualan RM250 juta dengan mudah menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek terbaru syarikat itu, Topaz II di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, semalam.

Katanya, setakat ini syarikat meraih jualan RM135 juta daripada beberapa projek perumahan dan kilang, khususnya di Bandar Saujana Putra dan Taman Tasik Puchong.

Beliau berkata, dalam masa terdekat ini syarikat itu akan melancarkan satu lagi projek perumahan yang menawarkan 340 unit dengan nilai pembangunan kasar RM62 juta. “Projek yang bakal dilancarkan ini adalah fasa baru daripada unit perumahan di Bandar Saujana Putra,” katanya.

Topaz II, kediaman teres dua tingkat itu dijual pada harga bermula daripada RM150,000 ke atas dengan keluasan tapak antara 18x55 kaki persegi. Bagi meningkatkan jualan, LBS menawarkan program pemilikan menarik yang memudahkan bakal pembeli dengan hanya perlu membayar wang pendahuluan RM1,000, kadar faedah sifar sehingga kunci diambil, yuran guaman perjanjian jual beli percuma dan duti setem percuma.

Lim berkata, kebanyakan kediaman yang dibina LBS di Bandar Saujana Putra itu sesuai untuk pembeli golongan berpendapatan pertengahan dan tinggi kerana harga yang ditawarkan berpatutan.

Bandar Saujana Putra seluas 334 hektar itu antara projek perbandaran bercampur diperkenalkan LBS Bina Group bagi menawarkan kediaman mampu milik berkualiti. Hingga kini, 4,800 unit kediaman bercampur di kawasan itu sudah siap dan diserahkan kepada pembeli.