July 1, 2009

Kulim dapat pembiayaan RM430 juta

KULIM Bhd semalam menjana RM430 juta menerusi perjanjian pembiayaan Islam bersindiket dengan dua bank, CIMB Islamic Bank Bhd dan OCBC Al-Amin Bank Bhd. Pengarah Urusannya, Ahamad Mohamad, berkata dana yang dijana itu akan digunakan bagi mengukuhkan struktur modal kumpulan, selain mengembangkan perniagaan sedia ada.

Katanya, dana berkenaan akan digunakan bagi mengembangkan sektor perladangan dan rangkaian restoran KFC, mengukuhkan segmen perniagaan terbaru iaitu perkapalan, selain membiayai semula hutang lama.

“Kami memilih pembiayaan Islam berkenaan berikutan pulangannya tetap, tempoh kelulusan lebih singkat berbanding bon. Struktur pinjaman sesuai dalam persekitaran ekonomi semasa. “Kadar faedah rendah semasa menyediakan Kulim peluang untuk menstruktur semula modal bagi memenuhi profil pendapatan dan keperluan pengembangan,” katanya pada majlis memeterai perjanjian pembiayaan Islam itu di Kuala Lumpur, semalam.

Ahamad menandatangani bagi pihak Kulim, OCBC AL-Amin oleh Pengarah yang juga Ketua Eksekutifnya, Syed Abdull Aziz Syed Kechik manakala CIMB Investment Bank oleh Timbalan Ketua Eksekutifnya, Datuk Charon Wardini Mokhzani.

Ahamad menambah, sebahagian daripada dana berkenaan akan digunakan membangunkan ladang sawit di Kepulauan Solomon. Ia membabitkan anak syarikatnya, New Britain Oil Palm yang disenaraikan di Bursa Saham London yang bercadang membangunkan ladang sawit 7,000 hektar di Kepulauan Solomon.

Ditanya mengenai segmen perkapalan yang baru diceburi Kulim, beliau berkata, kesemua kapal miliknya kini disewakan kepada syarikat berkaitan minyak dan gas, selain memiliki opsyen penyambungan tiga hingga empat tahun. “Kami berasa selamat dari segi pulangan pelaburan daripada segmen perniagaan perkapalan,” katanya.