July 29, 2009

IPI meningkat tanda ekonomi stabil

Mustapa Mohamed mempengerusikan Majlis Dialog Tahunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Julai – Ekonomi Malaysia kini menunjukkan tanda-tanda yang lebih stabil, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, hari ini.
Beliau berkata, tahap dan kadar penurunan mengikut perbandingan tahunan bagi keseluruhan Indeks Pengeluaran Industri (IPI), selain merentas sektor pembuatan dan elektrik, menyusut pada Mei 2009 berbanding Mei 2008.

“Pada 2008, ekonomi Malaysia secara relatifnya baik, beralih kepada pertumbuhan positif 4.6 peratus meskipun berlaku krisis kewangan dan pengucupan ekonomi global,” katanya pada dialog tahunan kementerian berkenaan di sini.

“Kerajaan memantau rapat perkembangan pasaran global, tempat kita menjalankan peniagaan. Kami juga memantau rapat keadaan domestik,” kata Mustapa.

Mengenai subsektor kayu dan berasaskan kayu, beliau berkata, Malaysia menerima pelaburan berjumlah RM135.6 juta menerusi 14 projek antara Januari dan Mei tahun ini.

Malaysia juga mengenal pasti beberapa inisiatif, termasuk menjadi negara pertama yang memulakan rundingan formal untuk memasukkan perjanjian persahabatan sukarela, yang bakal menyaksikan produk kayu Malaysia mempunyai akses yang lebih baik ke pasaran kesatuan Eropah.

Mengenai subsektor mesin dan perkakasan, Mustapa berkata, eksport dalam tempoh Januari-Mei susut sebanyak 22.7 peratus kepada RM7.5 bilion berbanding RM9.7 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sepanjang lima bulan pertama tahun ini, 27 projek dengan nilai pelaburan RM276.8 juta diluluskan. – Bernama