July 22, 2009

Bank Negara serbu 2 firma ambil deposit haram

BANK Negara Malaysia semalam menyerbu Genneva Sdn Bhd dan Etika Emas Estet Sdn Bhd yang beroperasi di sekitar Lembah Klang kerana disyaki mengambil deposit secara tidak sah daripada orang awam untuk dilaburkan dalam emas.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, serbuan ke atas dua syarikat itu dibuat berdasarkan maklumat daripada orang awam. “Bank Negara sudah memulakan siasatan terhadap Genneva dan Etika Emas Estet kerana disyaki melanggar subseksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia) dalam menjalankan aktiviti pengambilan deposit secara haram.

“Serbuan ke atas premis milik kedua-dua syarikat berkenaan di Lembah Klang dibuat hari ini (semalam) berikutan maklumat diterima daripada orang ramai,” katanya. Susulan itu, Bank Negara mengingatkan rakyat negara ini supaya berhati-hati dengan skim pengambilan deposit dan skim pelaburan yang ditawarkan melalui pelbagai saluran seperti internet, panggilan telefon atau penganjuran seminar sama ada oleh individu atau syarikat yang tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa berkenaan.

Untuk keterangan lanjut, katanya orang ramai boleh merujuk kepada senarai institusi berlesen yang dibenarkan untuk mengambil deposit di laman web Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my atau menghubungi BNMTELELINK di talian 1 -300-88-5465.

Berdasarkan laman web syarikat berkenaan, kedua-duanya menawarkan pelaburan jual beli emas fizikal Swiss 999.9 dan syiling emas 999. Syarikat berkenaan memberi diskaun antara 2.0 peratus hingga 2.5 peratus sebulan bagi setiap pembelian untuk tempoh tertentu sebelum membeli semula emas berkenaan pada harga belian asal.