KUALA LUMPUR 28 Julai – Kerajaan bimbang dengan aliran yang menurun dalam pelaburan persendirian, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (gambar).
Dalam ucapannya di mesyuarat Kumpulan Fokus mengenai Pelaburan Persendirian untuk Bajet 2010 hari ini, Ahmad Husni berkata, pertumbuhan dalam pelaburan persendirian telah menyederhana kepada purata 9.4 peratus dari tahun 1999 hingga 2008.
“Dari segi sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar, pelaburan persendirian telah merosot daripada 26.9 peratus kepada 10.6 peratus dalam tempoh yang sama,” tambah beliau.
Menurut Ahmad Husni, sebelum krisis kewangan Asia, pelaburan persendirian ialah sumber utama pertumbuhan di Malaysia, berkembang 21.4 peratus secara purata dari tahun 1990 hingga 1997.
Beliau mengetengahkan beberapa faktor utama yang menghalang pelaburan persendirian, termasuklah kekurangan ketara pekerja berkemahiran, kekurangan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), tahap pengeluaran yang rendah dan kos yang agak tinggi dalam melaksanakan perniagaan. – Bernama