XINGQUAN International Sports Holdings Ltd, syarikat luar negara pertama yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia menjangka meraih RM208.9 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya itu.
Pengerusi dan Ketua Eksekutifnya, Wu Qingquan, berkata syarikat itu akan menggunakan 40 peratus daripada dana itu untuk membina kilang meningkatkan kapasiti pengeluarannya. Beliau berkata, pembinaan kilang dimulakan pada separuh kedua tahun ini dan apabila siap, akan meningkatkan keupayaan pengeluaran syarikat itu kepada kira-kira 10 juta pasang kasut dan 28 juta pasang tapak kasut setahun.
“Dana selebihnya digunakan untuk pemasaran dan pengiklanan, peluasan rangkaian jualan dan pengedaran serta penyelidikan dan pembangunan,” katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO itu di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Charon Wardini Mokhzani, Anak syarikat CIMB Group, CIMB Investment Bank bertindak sebagai penasihat, penaja jamin, ejen langganan dan pengurus bidaan tunggal bagi IPO itu.
Sempena penyenaraiannya yang dijadualkan pada 10 Julai ini, Xingquan iaitu pengeluar kasut, aksesori serta pakaian sukan terkenal di China membuat IPO 99.5 juta saham biasa baru bernilai AS$0.10 sesaham.
Daripada jumlah itu, 90 juta ditawarkan kepada pelabur institusi Malaysia dan asing serta pelabur terpilih, manakala 9.5 juta untuk langganan awam. Harga tawaran untuk langganan awam adalah RM2.10 sesaham, manakala untuk pelabur institusi menerusi proses binaan bida.
Xingquan kini beroperasi di kilang seluas kira-kira 48,000 meter persegi di Quanzhou, Wilayah Fujian yang terkenal sebagai pusat pengeluar kasut di China. Syarikat itu menghasilkan sehingga 5.9 juta pasang kasut dan 14 juta pasang tapak kasut setahun menggunakan jenama, ADDNICE yang diedarkan di lebih 1,400 kedai di 20 wilayah negara terbabit.