June 26, 2009

Toyota kekal terajui segmen kenderaan bukan nasional

MODEL Toyota kekal menerajui segmen kenderaan bukan nasional dengan merekodkan jualan 30,884 unit setakat Mei 2009, demikian menurut UMW Toyota Motor Sdn Bhd. “UMW Toyota gembira dapat mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam kategori bukan nasional, dengan menguasai kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan kenderaan di Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam segmen kereta penumpang bukan nasional, UMW Toyota mengatasi pesaing terdekatnya dengan menjual keseluruhan 15,316 unit.

Model popular kami Toyota Vios terus menjadi peneraju dalam kategori kereta penumpang kecil bagi 1,400cc hingga 1,500cc dengan 11,126 unit dijual daripada Januari hingga Mei, mewakili 53 peratus pasaran dalam segmen berkenaan,” katanya.

Syarikat itu menambah, persekitaran perniagaan menyaksikan pasaran automotif Malaysia menguncup hampir 11 peratus setakat Mei tahun ini, berbanding tempoh sama 2008. UMW Toyota baru-baru ini menambah varian Vios TRD Sportivo ke dalam barisan kenderaannya yang diharap mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju segmen kereta penumpang kecil.

Katanya, Toyota Hilux kekal sebagai model terlaris dalam kategorinya (Pikap Tugasan Ringan), yang mana bagi lima bulan pertama tahun ini syarikat menjual 5,100 model berkenaan. Ini membolehkan UMW Toyota menguasai 50 peratus bahagian pasaran segmen kenderaan pikap di Semenanjung dan 53 peratus di Sabah dan Sarawak.

“Dengan ekonomi yang sedang pulih, kami melihat momentum pertumbuhan dikekalkan dan berharap prestasi lebih baik separuh kedua tahun ini,” kata syarikat itu.