DRB-HICOM Bhd melantik Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza (gambar) sebagai Pengerusi barunya berkuat kuasa 1 Julai ini bagi menggantikan Tan Sri Syed Zainol Anwar Syed Putra Jamalullail yang mengosongkan jawatan berkenaan.
Syarikat itu dalam kenyataannya semalam berkata, Syed Mohamad, 61 yang dilantik sebagai pengarahnya sejak 28 Oktober 2005 akan membawa bersama-sama beliau pengalaman luas lebih 40 tahun dalam perniagaan serta pendedahan dalam dunia korporat dan keusahawanan.
Mengikut kenyataan itu, Syed Mohamad memulakan kerjayanya di Kah Motor Sdn Bhd selepas menamatkan persekolahan di Penang Free School.
Beliau kemudian dilantik memegang beberapa jawatan utama di pelbagai organisasi terkemuka seperti Shell Malaysia dan dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang. Pengalaman beliau membabitkan pelbagai sektor perniagaan dari automotif, pekilangan, eksport, perdagangan, hartanah hingga kepada minyak dan gas.
Jawatan lain yang dipegangnya kini adalah sebagai Pengerusi Hunza Consolidated Bhd, Pengarah Urusan Amstrong Auto Parts Sdn Bhd, Pengarah Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Bhd, Boon Siew Credit Bhd, Tourism Entrepreneur Centre Bhd dan PBA Holdings Bhd.
Syed Mohamad juga menerajui Penang Tourists Centre Bhd, Malaysia, Indonesia, Thailand Tourist Association Bhd (MITTAS Bhd), Persatuan Pengedar dan Pemasangan Motosikal, Skuter Malaysia dan Usains Group of Companies.
Beliau juga adalah Presiden Persekutuan Industri Motosikal Asia dan Jawatankuasa Pemandu Persatuan Pekilang Motosikal Antarabangsa. DRB-Hicom adalah sebuah daripada syarikat utama di negara ini yang terbabit dalam sektor pengeluaran automotif serta industri pengedaran dan pemasangan kenderaan menerusi pembabitannya dalam segmen kenderaan penumpang, pacuan empat roda dan projek trak nasional. Selain automotif, ia turut terbabit dalam sektor perkhidmatan serta hartanah dan prasarana.