KUALA LUMPUR 29 Jun - Ringgit turun berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini dengan minat terhadap dolar AS wujud semula berikutan kelemahan ekonomi UK, kata para peniaga.
Unit tempatan ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada 3.5390/5420 berbanding dengan semasa ditutup pada Jumaat lepas pada 3.5300/5350.
"Banyak pelabur luar negara menjual sterling dan euro untuk dolar AS," kata seorang peniaga.
Ringgit lemah berbanding dolar AS seiring dengan mata wang utama yang lain.
Peniaga itu berkata situasi berkenaan berkemungkinan berterusan esok. Sementara itu, ringgit ditutup lebih rendah berbanding mata wang utama lain.
Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 2.4301/4347 daripada 2.4245/4304 pada Jumaat lepas, dan juga susut berbanding yen kepada 3.7050/7097 daripada 3.6782/6850 sebelumnya.
Ia jatuh berbanding pound British pada 5.8369/8429 daripada 5.8121/8218 Jumaat lepas dan lemah berbanding euro kepada 4.9564/9616 daripada 4.9561/9642 sebelumnya. - Bernama