KUALA LUMPUR 24 Jun - Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika hari ini setelah pelabur pasaran memberi sokongan kepada mata wang tempatan dengan menjual dolar AS, kata para peniaga.
Pada pukul 5 petang, mata wang tempatan didagangkan tinggi sedikit berbanding dolar AS pada 3.5350/5400 berbanding dengan semasa ditutup pada Selasa pada 3.5450/5490.
Seorang peniaga berkata aktiviti belian ringgit dirangsang oleh penyertaan aktif pelabur tempatan dan asing, yang mengumpul saham di bursa tempatan.
Bagaimanapun, unit tempatan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 2.4273/4332 daripada 2.4291/4340 pada Selasa dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7088/7139 daripada 3.7214/7275 sebelumnya.
Bagaimanapun unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.8418/8475 daripada 5.7606/7685 semalam dan lemah berbanding euro kepada 4.9801/9851 daripada 4.9304/9370 sebelumnya.
- Bernama